SHAH ALAM: Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengenal pasti 50 lokasi strategik di kawasan bandar seluruh negara bagi pembangunan perumahan mampu milik untuk tempoh lima tahun akan datang.
Lokasi yang dikenal pasti adalah sekitar Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA , Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata pihaknya sentiasa berusaha mengenalpasti dan mendapatkan lokasi bersesuaian bagi mewujudkan persekitaran perumahan dan masyarakat yang kondusif.
"Lokasinya secara terperinci akan dimaklumkan melalui pengumuman dari semasa ke semasa apabila pembangunan berkenaan sedia untuk dilancarkan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, harga rumah PR1MA adalah 20 peratus lebih rendah berbanding rumah dalam kelas dan sekitar lokasi sama.
Kerjasama swasta "Projek perumahan mampu milik ini akan disiapkan dengan kerjasama sektor swasta dengan tempoh jangkaan siapnya akan diumumkan selepas projek dilancarkan," katanya.
Rabu lalu, Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 25,500 unit rumah akan dibina di Johor dalam tempoh tiga tahun hingga 2015.
Permohonan yang layak membeli rumah, yang akan dibangunkan di kawasan seluas 200 hektar dalam wilayah Iskandar Malaysia itu akan turut menerima diskaun RM51,000 iaitu daripada RM250,000 kepada RM199,000 seunit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan