Iskandar Malaysia, dahulunya Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Development Region) merupakan koridor pembangunan yang dilaksanakan di bahagian selatan Johor. Koridor ini juga dikenali sebagai South Johor Economic Region (SJER) atau Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor.
Koridor ini diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Julai 2006. Koridor ini telah bertukar nama kepada Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada 4 November 2006 bersempena nama Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail. Namanya ditukar lagi menjadi Iskandar Malaysia pada 11 April 2008.
Tempoh pembangunan kawasan ini adalah sehingga tahun 2025 dan memerlukan kos lebih RM47 bilion untuk menjana pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus dalam tempoh lima tahun yang pertama.
Iskandar Malaysia juga akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan yang terbesar di rantau ini. Apabila ia siap kelak, keseluruhan kawasan pembangunan dikatakan menyamai 2 setengah kali ganda keluasan Singapura. Khazanah Nasional Berhad akan memainkan peranan utama dalam merealisasikan wawasan itu.
Kewujudan wilayah pertumbuhan seluas 2,217 kilometer persegi itu diyakini mampu menarik firma besar bertaraf antarabangsa menjalankan perniagaan di situ.
Pembangunan itu merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di utara, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di tenggara.
Syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat pelaburan tambahan sebanyak RM3.4 bilion lagi dengan melaksanakan beberapa projek strategik melalui Perbadanan Pelaburan Johor Selatan (SJIC).
Berdasarkan pelan pembangunannya, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, kawasan pertumbuhan ekonomi itu dijangka begitu pesat melalui kepelbagaian bidang.
Antaranya ialah bidang elektrik dan elektronik, petrokimia dan oleokimia, pemprosesan makanan dan pertanian, perkhidmatan logistik serta pelancongan di samping perubatan dan kesihatan, pendidikan, kewangan serta industri kreatif.
Keunikan Iskandar Malaysia juga dilihat berdasarkan pembangunan sedia ada seperti pembangunan bandar pesisir pantai Teluk Danga, Bandar Nusajaya, kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (CIQ) dengan projek-projek pembangunan yang baru. Projek Pembangunan Nusajaya, sebuah bandar bertaraf dunia terbesar di Asia Tenggara juga termasuk dalam wilayah pembangunan ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan